KUALA LUMPUR: Penganjur Sukan Lumba Drag dan Motocross bakal berdepan tindakan lebih tegas termasuk disenarai hitamkan serta perlumbaan yang dianjurkan dikategori sebagai haram.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemas kini Garis Panduan Penganjuran Sukan Pemotoran Drag dan Motocross untuk diikuti penganjur.
“Kita telah kemas kini dua seksyen dalam buku garis panduan tersebut untuk penganjur, pelumba dan penonton kerana kita tahu sukan pemotoran ini merupakan sukan berbahaya dan berisiko tinggi.
“Kita telah buat satu rangka yang sangat efektif, mudah diikuti dan dilaksanakan, jadi, saya berharap sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri dalam perlumbaan drag terutamanya, perlu patuh dengan garis panduan ini.
“Sekiranya pihak terbabit gagal mematuhi arahan, perlumbaan tersebut akan dianggap sebagai perlumbaan haram,” katanya pada sidang media pelancaran buku Garis Panduan Sukan Pemotoran Drag dan Motocross Malaysia yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di sini, semalam.
Menurut beliau, ekoran beberapa insiden yang meragut nyawa pelumba sejak setahun, dua kebelakangan ini, pihak penganjur bukan sekadar wajib mematuhi peraturan, tetapi, persiapan litar, insurans dan pasukan perubatan perlu disediakan di lokasi kejuaraan berlangsung.
Jelasnya, jika sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab memberi kebenaran menggunakan sesebuah lokasi dan keselamatan di bawah PDRM, tetapi selepas ini kelulusan utama membabitkan tiga pihak iaitu MAM, KBS dan PDRM.
“Kita perlu memastikan perlumbaan diiktiraf dan berlesen, manakala, kenderaan pula selamat diguna pakai dan sesuai untuk perlumbaan, selain isu insurans serta perubatan dipatuhi agar imej sukan pemotoran tidak tercemar,” tegasnya.
Sementara itu, Hannah pula turut memberi amaran kepada mana-mana penganjur yang gagal mematuhi peraturan yang telah digariskan bakal berdepan risiko disenarai hitam.
“Kita tidak boleh berkompromi soal keselamatan, KBS akan membuat laporan polis jika ada yang gagal mematuhi peraturan termasuk menyalahgunakan logo kementerian, kita akan senarai hitamkan mereka, jika masih berdegil,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak berkenaan juga tidak akan diberi Dana Sukan Komuniti dan Geran Padanan Sukan kerana hanya mereka yang mematuhi garis panduan berpeluang menikmati kemudahan itu.-UTUSAN