PETALING JAYA: Konsistensi boleh dikatakan ‘musuh’ utama kepada pemain-pemain badminton negara apabila mereka seringkali dihantui masalah berkenaan.
Terbaharu adalah kekalahan juara Terbuka Jepun 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada aksi pusingan pertama Terbuka Korea Selatan 2024 dan ia menunjukkan bahawa pemain badminton negara berdepan masalah untuk mengekalkan prestasi yang konsisten.
Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang masih terbuai dengan kejayaan itu, gagal meneruskan momentum cemerlang apabila tewas mengejut kepada rakan senegara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian 21-13, 16-21, 16-21.
Masalah sama turut dialami pemain profesional negara, Lee Zii Jia yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 namun tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Jepun.
Pemain berusia 26 tahun itu sukar untuk menghalang tentangan sengit pemain dari Perancis berusia 29 tahun, Alex Lanier 21-18, 21-13, minggu lalu.
Ini menunjukkan, pemain negara berdepan kesukaran untuk mengekalkan aksi konsisten dalam setiap kejohanan disertai mereka dengan sekurang-kurangnya mengelak daripada tersingkir seawal pusingan pertama.
Perkara ini sering berlaku kepada pemain badminton negara yang merangkul gelaran pada satu masa dan selepas itu bergelut dengan prestasi selama beberapa bulan untuk mencapai semula pada tahap konsisten.
Dengan Sze Fei-Nur Izzuddin yang bakal bergerak profesional secara rasmi pada 1 September ini, berkemungkinan ‘badi’ gelaran itu akan berterusan sehingga penghujung musim Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).-UTUSAN