Pearly-Thinaah lakar sejarah di Olimpik Paris

Pearly-Thinaah lakar sejarah di Olimpik Paris

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan kemaraan selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Baek Ha Na-Lee Soo 21-18, 21-13 pada aksi separuh akhir Terbuka Korea Selatan 2024, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pearly Tan-M. Thinaah mencipta sejarah baharu buat arena badminton negara apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menempah laluan ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Kejayaan itu hadir selepas mereka mengejutkan pasangan No. 10 dunia, Kim So Yeong-Kong Hee Yong pada peringkat lapan terbaik Sukan Olimpik 2024 di Paris semalam.

Gandingan negara yang menghuni ranking ke-12 dunia itu membenam pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, Tokyo 21-12, 21-13 di Arena Porte De La Chapelle.

Kejayaan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah kini mencerahkan peluang untuk berada dalam kedudukan berpingat dan seandainya berjaya, mereka sekali lagi akan menempa nama selaku beregu wanita pertama negara berjaya berbuat demikian pada temasya terbesar di dunia itu.

Sebelum ini, Pearly dan Thinaah menyamai pencapaian Vivian Hoo-Woon Ker Wei yang menjadi gandingan wanita pertama Malaysia melangkah ke suku akhir sewaktu Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Pada separuh akhir hari ini, Pearly-Thinaah akan bertemu sekali lagi pasangan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo.

Pearly-Thinaah yang berada dalam kumpulan sama dengan Qing Chen-Yi Fan iaitu Kumpulan A sewaktu saingan peringkat awal, kalah straight set 17-21, 20-22 kepada juara dunia tersebut.

Sewaktu diminta mengulas mengenai pencapaian muncul sebagai beregu wanita Malaysia pertama ke separuh akhir, Thinaah pula menjelaskan, itu semua hanyalah gelaran kerana apa yang lebih penting keputusan yang bakal mereka catat nanti.

“Kami tak terlalu memikirkan mengenai hal itu, kami hanya mahu mengikuti proses yang perlu kami harungi. Sokongan yang diterima terutamanya daripada jurulatih banyak membantu kami di sini, masih ada lagi perlawanan bakal kami harungi dan kami perlu bersedia,” tegas Thinaah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN