Pearly-Thinaah buru pingat gangsa

Pearly-Thinaah buru pingat gangsa

Pearly Tan-M. Thinaah perlu berehat sementara dalam memulihkan fizikal dan mental.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah masih berpeluang merebut pingat gangsa, sekali pun mereka tumpas kepada gandingan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada separuh akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, semalam.

Pasangan No. 12 dunia itu berjaya mengheret pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tersebut sehingga set penentuan sebelum kecundang 12-21, 21-18, 15-21 dalam masa 1 jam 18 minit di Arena Porte De La Chapelle.

Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua beregu kini semakin melebar 1-7 berpihak kepada juara dunia empat kali dari China itu.

Untuk aksi perebutan gangsa, hari ini, Pearly-Thinaah yang mengintai peluang muncul selaku beregu wanita pertama Malaysia meraih pingat pada temasya terbesar di dunia itu bakal berdepan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Matsuyama-Shida yang merupakan pasangan No. 4 dunia itu tewas kepada beregu No. 3 dunia, Tan Ning-Liu Shengshu dari China 21-16, 21-19 dalam satu lagi separuh akhir.

Thinaah ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, walaupun mereka tewas, tetapi, dia yakin hanya yang terbaik telah diberikannya dalam aksi separuh akhir tersebut.

“Kami hanya mahu menikmati permainan kami dan ingin melakukan sesuatu yang tidak akan kami kesali nanti.Ia bukan satu jalan yang mudah kerana sejak di peringkat kumpulan lagi laluan kami sukar dan kami mahu percaya bahawa kami mampu melangkah jauh,” katanya dalam nada sebak.

Anak jati Klang, Selangor itu yang melakukan penampilan sulung bersama Pearly di Olimpik menjelaskan, bukan mudah berdepan dengan beregu No. 1 dunia itu dan banyak yang dia serta Pearly belajar daripada Qing Chen dan Yi Fan.

Tambahnya, perjalanan dia dan Pearly belum berakhir dan masih ada satu lagi perlawanan menanti mereka bagi perebutan pingat gangsa.

Pearly pula memberitahu, dia dan Thinaah bermain bermati-matian sehingga berjaya mengheret gandingan China itu ke rubber set tetapi sebagai pasangan yang lebih berpengalaman, Qing Chen-Yi Fan berhasil memberi tekanan kepada mereka berdua.

Sekalipun, hajat untuk menyaksikan Pearly-Thinaah mencipta sejarah melangkah ke perlawanan akhir Sukan Olimpik tidak kesampaian namun, beregu negara itu masih berpeluang untuk sekali lagi berada di dalam lipatan sejarah menjadi gandingan wanita pertama Malaysia meraih pingat.

Keputusan itu menyaksikan China sah meraih pingat emas dan gangsa dalam acara berkenaan selepas pertemuan sesama sendiri di final antara Qing Chen-Yi Fan menentang Shengshu-Tan Ning.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya