PARIS: Panipak Wongpattanakit memahat sejarah buat Thailand di Sukan Olimpik apabila menjadi atlet pertama negara itu memenangi pingat emas dalam dua temasya terbesar dunia itu berturut-turut.
Kali pertama Panipak memenangi emas ketika di Olimpik Tokyo 2020 dan dia mempertahankan pingat itu di Olimpik Paris 2024.
Kejayaan mempertahakan emas itu hadir selepas Panipak menang 6-3, 2-3, 6-2 ke atas atlet China, Guo Qing dalam acara taekwondo wanita flyweight.
Pertarungan final itu berlangsung sengit dan mencabar dengan dia berjaya melakukan dua sepakan ke kepala yang memberikan tiga mata.
“Saya sangat gembira dan teruja mencapai kemenangan ini untuk Thailand. Jika ada yang ingin belajar dengan saya boleh datang ke Thailand,” katanya.
Panipak,27, menjelaskan beberapa siri kecederaan telah menjejaskan lutut, pergelangan kaki dan pinggul sekali gus menjadi faktor utama memaksa dia membuat keputusan untuk bersara.-AGENSI