Nakano musnahkan impian Shah Firdaus menang pingat

Nakano musnahkan impian Shah Firdaus menang pingat

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Saint-Quentin-en Yvelines, hari ini. - IHSAN FB MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlibat kemalangan dalam perlumbaan final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan pelumba berusia 28 tahun itu terpaksa berpuas hati mendapat tempat keenam biarpun mempamerkan semangat juang yang tinggi semasa perlumbaan berkenaan.

Pada aksi yang mendebarkan itu, Shah Firdaus beraksi baik dan berada dalam kelompok tiga teratas untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada acara terbabit.

Bagaimanapun, ianya dinafikan apabila pelumba Jepun, Shinji Nakano menghimpit beliau sehingga terjatuh serta Jack Carlin dari Britain turut terlibat dalam kemalangan itu.

Nakano dan Carlin diklasifikasikan sebagai DNF (tidak menamatkan perlumbaan).

Pingat emas dirangkul oleh pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang mana meraih gangsa pada Olimpik Tokyo 2020 dan ketika itu dipintas oleh Datuk Azizulhasni Awang untuk membawa pulang perak.

Perak dan gangsa dibawa pulang oleh kem berbasikal trek Australia, Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer.

Pada penampilan sulungnya di Tokyo 2020, pelumba kelahiran Muar, Johor itu menghadapi kemalangan ngeri pada saringan kedua pusingan pertama keirin sekali gus tidak dapat meneruskan perlumbaan yang dimulakan semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN