PARIS: Atlet Pakistan, Arshad Nadeem mengakui usahanya selama ini berbaloi apabila berjaya menghadiahkan pingat emas untuk negaranya dalam acara merejam lembing di Sukan Olimpik Paris.
Lebih manis kejayaan tersebut turut menyaksikan Nadeem memecahkan rekod temasya apabila membuat catatan 92.97 meter (m) memadam pencapaian atlet Norway, Andreas Thorkildsen yang melakukan 90.57m di Olimpik Beijing.
Pingat perak dimenangi atlet India, Neeraj Chopra dengan 89.45m manakala gangsa menjadi milik wakil dari Grenada, Anderson Peters (88.54m).
“Ketika saya merejam lembing itu, saya berasa ia meninggalkan tangan saya dan mungkin satu rekod Olimpik,” kata Nadeem.
Pencapaian atlet berusia 27 tahun itu turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Tahniah Arshad, sejarah dicipta,” tulisnya di laman sosial X. – AGENSI