PETALING JAYA: Seramai 30 atlet para negara yang akan bertanding di Sukan Paralimpik Paris yang bermula hari ini hingga 8 September membawa misi memburu pingat emas di temasya berkenaan.
Daripada 30 atlet itu, empat atlet dilihat berpeluang cerah membutir emas buat negara antara Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli dari sukan olahraga, Bonnie Bunyau Gustin (angkat berat) dan Cheah Liek Hou (badminton).
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau menaruh harapan tinggi kepada atlet yang pertama kali bertanding di paralimpik untuk melakukan sebaik mungkin dan membawa pulang pingat tanpa mengira warna ke Malaysia.
Katanya, sukan renang dan boccia mampu melakukan kejutan untuk menghadirkan warna pingat kepada kontinjen negara.
Tambah Megat Shahriman,melihat prestasi semasa atlet yang akan bersaing dalam acara itu, beliau percaya wakil negara di Paris nanti boleh memberi tentangan sengit dan berada dalam kedudukan podium.
“Mungkin renang insya-Allah kita ada peluang di situ kerana catatan masa atlet kita dengan nombor tiga (pemenang Tokyo 2020) itu beza dalam satu ke dua saat sahaja.
“Bukan nak mengharapkan atlet lain terkandas atau hilang kelayakan tapi mereka akan buat yang terbaik juga. Jadi kita lihat boccia dan renang, mengikut catatan masa dan juga kejohanan dunia serta ikut segala peraturan yang kita ada termasuk segala strategi, Insya-Allah kita menuju ke arah itu (memenangi pingat),”katanya.
Setakat ini, kem negara berjaya mengumpul enam emas di Sukan Paralimpik secara keseluruhan dengan tiga daripadanya diperoleh di Rio 2016 dan tiga lagi di Tokyo 2020.
Seramai 30 atlet para negara bakal beraksi dalam lapan jenis sukan dan ia merupakan jumlah kontinjen paling ramai dalam sejarah Sukan Paralimpik sejak Malaysia mula menyertainya pada edisi 1972.-UTUSAN