PETALING JAYA: Tiada nama Faisal Halim dalam skuad 26 pemain yang dipanggil untuk membawa cabaran negara dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente berkata, beliau gembira Faisal kembali beraksi semula namun prestasinya belum pulih sepenuhnya.
“Saya gembira dia (Faisal) kembali beraksi, satu karakter yang baik dan semua (pemain) boleh belajar daripada apa yang dia lakukan untuk tampil semula ke padang. Keputusan ini (tidak memanggil Faisal) diambil selepas mempertimbangkan tahap kecergasannya yang masih dalam proses pemulihan.
“Walaupun Faisal telah menunjukkan peningkatan, kecederaan yang dialami masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum beliau boleh kembali beraksi di peringkat antarabangsa. Bila dia sudah bersedia nanti dan kembali ke prestasi sebenar, saya bersedia untuk bekerjasama dengannya,” kata Vicente dalam sidang akhbar pengumuman pemain, semalam.
Terdahulu Vicente mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk Pestabola Merdeka 2024.
Senarai itu menyaksikan tiada rombakan besar pemain dengan Vicente masih mengekalkan pemain-pemain lama yang dipanggil Kim Pan Gon sebelum ini.
Menurut Vicente, skuad kali ini adalah gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda yang dipilih berdasarkan prestasi semasa bersama pasukan masing-masing.
“Senarai 26 pemain ini adalah yang terbaik sekarang untuk kita capai target di Pestabola Merdeka, ada pemain berpengalaman dan pemain muda yang berpotensi,” katanya.
Mengulas mengenai jentera serangan, Vicente gembira apabila beliau kembali mendapatkan khidmat jentera serangan yang terbaik dalam skuad kali ini berbanding skuad sebelum ini.
Dalam sidang akbar yang sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman mengumumkan Vicente kini memegang jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya
“FAM telah melihat kembali kontrak Vicente dan dan beliau kini memegang jawatan selaku ketua jurulatih dan bukannya pemangku. KPI beliau adalah Piala AFF 2024,” katanya.
Kem latihan pusat Harimau Malaya akan bermula pada 29 Ogos ini bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 8 September ini.-UTUSAN