PETALING JAYA: Juara para badminton dunia lapan kali, Cheah Liek Hou tekad untuk mempertahankan emas Sukan Paralimpik apabila beliau turun beraksi menentang wakil Poland, Bartłomiej Mroz bagi saingan peringkat kumpulan SU5 hari ini.
Pemain berusia 36 tahun itu dilabel sebagai pemain pilihan bersama Fang Jen Yu dari Taiwan mahu memulakan kempen dengan langkah kanan sekali gus yakin merebut tempat dua teratas Kumpulan A untuk mara ke separuh akhir.
“Kejohanan Paralimpik kali ini memberi keterujaan kepada saya. Sebab saya kini berada di Paris. Biarpun jauh dari Malaysia saya rasa tenang dan siap sedia.
“Latihan pertama di bumi Paris segala-galanya berjalan dengan lancar. Doakan yang terbaik untuk saya warga Malaysia. Saya berjanji buat yang terbaik demi negara saya,” kata Liek Hou.
Di atas kertas, saingan peringkat kumpulan terbabit dilihat cabaran getir menanti Liek Hou ialah pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 dari Indonesia, Suryo Nugroho yang kini menghuni tangga keenam dunia.
Pemain nombor satu dunia itu juga bakal menerima ujian daripada wakil tuan rumah Meril Loquette iaitu pemenang dua emas di Kejohanan Para Eropah tahun lalu.
Liek Hou akan membuka tirai Sukan Paralimpik Paris 2024 menentang Mroz pada pukul 4 petang ini di Arena Porte de La Chapelle.
Untuk rekod, kontinjen Malaysia dibarisi oleh 30 atlet dari lapan jenis sukan yang akan berlangsung hingga 8 September ini.-UTUSAN