SHANGHAI: Populasi haiwan peliharaan di China bakal mencecah dua kali ganda berbanding kanak-kanak pada 2030 susulan tindakan pasangan muda yang lebih memilih untuk membela binatang peliharaan berbanding memiliki anak sendiri.
Menurut kajian didedahkan bank pelaburan, Goldman Sachs awal bulan ini,
bilangan haiwan peliharaan dijangka mencecah 70 juta ekor pada hujung dekad ini, sementara populasi kanak-kanak di bawah umur empat tahun kurang 40 juta.
“Keadaan ini berlaku disebabkan kecenderungan golongan muda yang belum bersedia memiliki anak,” jelas bank itu seperti laporan Channel News Asia.
Seorang wanita, Liu Yinghui dan suaminya, adalah contoh pasangan muda yang tidak mahukan anak walaupun sudah berkahwin tiga tahun lalu.
Mereka yang kini membela sepasang kucing berkata, haiwan peliharaan membuatkan mereka terhibur sama seperti pasangan yang memilih untuk mempunyai anak.
“Generasi kami kini lebih terbuka. Membela kucing sama sahaja seperti menjaga anak. Saya juga tidak kisah berbelanja untuk kucing saya,” katanya.
Sejak beberapa tahun ini, kadar kesuburan di China mencatat hanya satu kelahiran oleh satu wanita berbanding dua anak bagi mengekalkan kestabilan populasi.
Malah di bandar raya seperti Shanghai, kadar kesuburan yang dicatat lebih rendah iaitu 0.6 kelahiran bagi setiap wanita.- AGENSI