PARIS: Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekod dunia mereka sendiri menerusi acara 4×100 meter (m) rampaian wanita sekali gus menutup sukan renang dengan merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024, awal pagi tadi.
Pencabar terdekatnya Australia menamatkan saingan dengan pingat perak diikuti dengan pasukan dari China membawa pulang gangsa pada acara terbabit.
Kuartet AS, Regan Smith, Lilly King, Gretchen Walsh dan Torri Huske menyentuh dinding penamat dengan catatan 3:49.63 saat (s) di bagi melunaskan dendam kekalahan mereka kepada Australia dengan perbezaan 0.13s pada edisi Tokyo 2020.
Rekod sebelumnya iaitu 3:50.40s dicatat oleh kuartet AS, Katharine Berkoff, Emma Weber, Alex Shackell, dan Kate Douglass pada kejohanan dunia di Gwangju, Korea Selatan, Julai 2019 lalu.
“Kami telah banyak berusaha untuk memadamnya (rekod dunia). Jadi ianya sangat menarik untuk terus menjadi sebahagian daripada kuartet itu dan menontonnya dengan lebih pantas,” kata King.
Walsh berkata, kejayaan rakan senegaranya, Bobby Finke merangkul emas acara 1,500 gaya bebas lelaki mendahului AS dengan Australia dengan pungutan emas itu memberikan satu lagi pecutan akhir buat kuartetnya.
“Renangan Finke sangat pantas. Jadi ianya memberi motivasi kepada saya untuk mendapatkan emas,” katanya. – AGENSI