BESUT: Terengganu berpotensi menubuhkan lebih banyak koperasi yang menceburi perniagaan dalam sektor pertanian asas tani dan industri pelancongan.
Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, perniagaan dalam dua sektor tersebut mempunyai potensi besar untuk berdaya maju pada masa hadapan.
Menurutnya, ketika ini koperasi yang melibatkan sektor tersebut masih sedikit iaitu 20 peratus di seluruh negara.
Katanya, penglibatan koperasi dalam kredit dan kewangan pula paling banyak meliputi 60 peratus daripada keseluruhan koperasi di negara ini.
“Koperasi yang menceburi perniagaan pelancongan dan pertanian perlu diperkasakan selepas ini berbanding perniagaan-peniaga lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Taman Kohafas Agro Darau, Pasir Akar, Jerteh, di sini, hari ini.
Ahmad Norihan berkata, penubuhan lebih banyak koperasi pertanian akan dapat memperjuangkan isu-isu melibatkan sektor pemakanan yang melanda negara ketika ini.
Tambahnya, ia sekaligus dapat membantu menangani masalah mitigasi berkaitan sektor berkenaan dan keterjaminan makanan.
“Penubuhan koperasi tersebut turut membuka peluang perniagaan, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” ujarnya. – UTUSAN