PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan pemotongan sebanyak enam mata terhadap Kuala Lumpur (KL) City selepas dokumen yang diserahkan oleh pengurusan kelab itu bagi tujuan pelesenan kelab mengandungi maklumat tidak tepat.
KL City didenda sebanyak RM50,000 dan dikenakan larangan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024-2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MFL, First Instance Body (FIB) menyemak semula kesahihan semua dokumen yang dikemukakan oleh KL City selepas pendedahan yang dilakukan oleh Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar.
Yazid sebelum ini mendedahkan bahawa KL City tidak melunaskan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Februari 2023 yang berjumlah kira-kira RM720,000.
“Hasil semakan FIB itu mendapati bahawa dokumen yang diserahkan KL City berkenaan caruman LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), KWSP dan Perkeso mengandungi maklumat tidak tepat atau tidak benar.
“Berdasarkan pengesahan daripada agensi kerajaan melalui email kepada FIB di mana agensi berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan oleh KL City kepada FIB sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, KL City tidak dibenarkan memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua kitaran musim pada 2024-2025 dan 2025-2026 serta didenda RM50,000.
Lesen AFC yang telah diluluskan oleh FIB bagi musim 2024-2025 turut dibatalkan.
“Merujuk kepada sub-kriteria F.04, deklarasi tunggakan bayaran gaji dan agensi kerajaan sehingga 31 Disember 2023 yang perlu diselesaikan pada 31 Mac 2024.
“Setelah didapati bahawa serahan deklarasi kelab kepada unit perlesenan kelab MFL melalui sistem AFC CLAS pada 29 Mac 2024 adalah tidak tepat atau tidak benar,” katanya lagi.-UTUSAN