KUALA NERUS: Kelibat ketua pasukan, Safawi Rasid akan terus ditagih Terengganu FC (TFC) untuk merobek pintu gol Sri Pahang pada aksi derbi Pantai Timur di laman sendiri, malam ini.
Pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini kembali menemui sentuhan apabila muncul penjaring terbanyak skuad Penyu dengan enam gol dalam Liga Super selain Piala FA.
Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, Safawi bakal sekali lagi mengetuai jentera serangan bersama Ismaheel Akinade dalam misi menghambat Selangor dan JDT di carta liga.
Menurutnya, motivasi Sang Penyu juga kembali pada tahap terbaik selepas mempamerkan persembahan lebih meyakinkan ketika mengalahkan KL City FC, 2-0, minggu lalu.
“Kami beraksi tanpa khidmat penyerang utama (Ivan Mamut) sepanjang musim ini namun tidak ramai memperkatakannya kerana TFC masih ada Safawi serta Akinade di posisi itu.
“Tetapi kedua-dua mereka bukan penyerang tulen dan bermain lebih baik dari sebelah sayap. Safawi terutamanya, banyak berkorban untuk pasukan dan usahanya semakin berhasil.
“Saya percaya Safawi boleh beraksi lebih bagus lagi dan akan terus meledak bersama TFC untuk perlawanan menentang Sri Pahang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.
Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, TFC bagaimanapun tidak boleh memandang mudah cabaran bakal diberikan skuad Tok Gajah yang kini menghuni tangga ke-10 dengan hanya enam mata.
Jelasnya, Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad pastinya turun dengan misi memburu mata selepas kali terakhir mengecapi nikmat kemenangan pada aksi pembukaan liga, 11 Mei lalu.
“Gandingan (Kpah) Sherman dan (Manuel) Hidalgo perlu diberi perhatian kerana dua pemain itu ayam tambatan Sri Pahang selain (Sergio) Aguero yang mengemudi jentera tengah.
“Apa pun aksi kami semakin baik terutama benteng pertahanan tempatan dan mereka akan dikekalkan dalam kesebelasan utama termasuk penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin,” tambahnya.
TFC yang kini di tangga ketiga mengumpul 14 mata memerlukan kemenangan ke atas Sri Pahang untuk terus memberi tekanan kepada Selangor yang memungut 19 mata manakala JDT, 22 mata.-UTUSAN