LONDON: Pelari Jamaica, Junelle Bromfield bercakap mengenai ‘penderaan’ yang dialaminya semasa Sukan Olimpik Paris baru-baru ini berikutan hubungannya dengan juara 100 meter (m) yang baru dinobatkan, Noah Lyles.
Pemenang pingat kejohanan dunia dan Olimpik berusia 26 tahun itu diganggu di media sosial oleh rakyat Jamaica yang memanggilnya ‘pengkhianat’ kerana dia mempunyai hubungan mesra dengan pelari Amerika Syarikat (AS) itu.
Lebih teruk ada yang mengeluarkan ancaman bunuh terhadap Junelle dan ia membuat dirinya dalam tekanan.
“Saya benar-benar ingatkan kita sudah melepasi isu warna kulit di Jamaica, terutamanya sebagai negara yang dipenuhi dengan orang kulit hitam.
“Saya menjadi mangsa buli siber selama beberapa minggu dan apabila ia dibincangkan, saya dianggap sebagai pengkhianat.
“Saya boleh membebel tetapi saya di sini hanya untuk memberitahu semua gadis/perempuan di profil saya bahawa anda cantik tidak kira warna kulit, bentuk atau saiz anda, dan untuk kanak-kanak kulit hitam, jangan tunggu sesiapa untuk memberitahu anda bahawa anda cantik baru anda hendak mempercayainya,” kata Junelle dalam satu hantaran di Instagram.
Junelle yang memiliki hubungan dengan Lyles sejak 2022 bagaimanapun gagal menyerlah di Paris selepas tidak membawa pulang pingat.
Dia adalah sebahagian daripada pasukan lari berganti-ganti 4x400m Jamaica yang memenangi pingat perak di Kejohanan Dunia 2022 dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020.
Sementara itu, Lyles mempertahankan Junelle dengan mengatakan dalam satu hantaran Instagram minggu lalu bahawa dia lebih mengagumi kekasihnya itu.-AFP