Kecederaan lutut bayangi kemaraan Aira ke final Trofi Tuanku Muhriz

Kecederaan lutut bayangi kemaraan Aira ke final Trofi Tuanku Muhriz

AIRA (kanan) akhirnya mampu mengumpul kekuatan dan fokus untuk bangkit menutup aksi dengan kemenangan ke atas Ainaa pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - IHSAN PSNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kecederaan lutut yang dialami Aira Azman sedikit membimbangkan menjelang perlawanan akhir berdepan seteru yang sangat tidak digemarinya Chan Sin Yuk dari Hong Kong pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 di Seremban, Negeri Sembilan, esok.

Aira yang pernah merangkul gelaran Trofi Tuanku Muhriz, dua tahun lalu, mengetepikan rakan senegara Noor Ainaa Amani Ampandi 11-9, 8-11, 0-11, 11-6, 11-7 pada separuh akhir di Kompleks Sukan Tan Seri Dato’ Hj Mohd Said, hari ini.

Namun, ketika set kedua pemain berusia 20 tahun yang diletakkan selaku pilihan kedua itu bergesel lutut di permukaan gelanggang sehingga memaksanya mendapatkan rawatan.

Ekoran kecederaan tersebut, Aira hilang fokus dan membiarkan Ainaa menang mudah 11-0, sebelum dia kembali bangkit untuk menutup permainan dengan kemenangan dua set berikut.

Bekas juara remaja Asia itu bakal berdepan Sin Yuk selepas pilihan ketiga tersebut mengejutkan kakaknya, Aifa yang diletakkan selaku pilihan pertama dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 9-11, 1-11, 11-9, 14-12, 14-12 dalam masa 50 minit.

Aira berkata, akibat kecederaan lutut yang dialami dan kesakitan yang terpaksa ditanggung, fokusnya hilang sehingga melepaskan set ketiga dengan cukup mudah.

“Tetapi keinginan saya untuk mara ke perlawanan akhir melebihi daripada kesakitan yang saya terpaksa tanggung.

“Saya berkata kepada diri saya sikit sahaja lagi, saya hendak sangat masuk final, jadi, saya alih fokus saya dengan tidak terlalu memikirkan kecederaan lutut saya dan saya berjaya juga menang,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Sin Yuk, Aira memberitahu, pencabarnya itu seorang pemain yang memiliki kualiti permainan yang sangat baik dan tidak mudah berdepan dengannya.

“Saya tak suka dia, saya pernah tewas kepada Sin Yuk pada Sukan Asia (di Hangzhou), hanya kakak saya (Aifa) mampu menewaskan dia. Esok, saya akan cuba memberi yang terbaik untuk menang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar gagal menandingi kehebatan pilihan pertama, Lau Tsz Kwan dari Hong Kong 10-12, 11-8, 6-11, 4-11 dalam masa 47 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia tidak memiliki wakil dalam saingan lelaki pada perlawanan akhir, esok, dengan Addeen yang merupakan naib juara tahun lalu tidak mampu untuk mengulangi pencapaian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya