BAYERN: Penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane menerima anugerah Kasut Emas selepas menjadi penjaring gol terbanyak liga bola sepak Eropah dalam satu majlis di tengah bandar Munich.
Kane layak memenangi anugerah itu selepas meledak 36 gol dalam saingan Bundesliga musim lalu sekali gus mengatasi pemain-pemain dari Liga-Liga Eropah lain.
Ia juga merupakan kali pertama dia memenangi anugerah itu walaupun pernah muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tiga kali.
“Satu perasaan yang sangat menakjubkan. Anugerah ini adalah untuk semua orang. Tanpa anda, saya tidak akan berdiri sini hari ini.
“Saya rasa baik dan tidak sabar untuk memulakan musim baru. Saya merasakan tenaga baru, saya sangat berbangga menerima anugerah ini,” kata Kane.
Itu merupakan anugerah terbaharu yang dimenangi penyerang tersebut namun Kane masih belum memenangi sebarang gelaran bersama Bayern pada tahun pertamanya selepas kelab tersebut menamatkan musim lalu tanpa trofi buat kali pertama sejak 2012.
“Saya mahu meneruskan prestasi saya seperti musim lalu, tetapi penting untuk memenangi gelaran. Kami mahu mencapai kejayaan sebagai satu pasukan,”ujarnya.
Kane meledak 36 gol dalam 32 penampilan bersama Bayern lima gol kurang daripada rekod satu musim yang dipegang oleh bekas penyerang Bayern, Robert Lewandowski iaitu 41 gol.
Penyerang berusia 31 tahun itu berkata rekod yang dilakukan Lewandowski terlalu jauh untuk diatasi setakat ini.
“Apabila kita sampai ke April tahun hadapan dan kita sedikit lebih dekat, mungkin ia sesuatu yang boleh kita bincangkan tetapi buat masa ini hanya mengambil setiap perlawanan satu persatu, cuba membantu pasukan dengan menjaringkan gol.
“Tetapi jika kita menang dan saya tidak menjaringkan gol, saya tidak akan risau,” jelasnya.
Anugerah tersebut mula diperkenalkan pada musim 1967-1968 dan sebelum ini ia diberikan kepada penjaring terbanyak dalam mana-mana liga di eropah namun pada 1997 ia menggunakan sistem ranking sekali gus mengutamakan pemain di liga yang lebih tinggi.
Lionel Messi muncul pemenang terbanyak anugerah tersebut selepas memenanginya enam kali dan pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Erling Haaland juga pernah menerimanya. – AFP