'Kamu pendakwah, perbuatan (rogol) tidak diterima akal'

‘Kamu pendakwah, perbuatan (rogol) tidak diterima akal’

DA’I Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.-NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Sebagai pendakwah agama, perbuatan kamu itu (rogol) tidak boleh diterima akal yang munasabah.

“Mangsa terpaksa mengumpul kekuatan untuk tampil membuat laporan polis dan perlu melalui proses perundangan yang panjang di mahkamah.”

Demikian kata Hakim Norazlin Othman di Mahkamah Sesyen di sini ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Da’i Syed atas tuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

Norazlin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tertuduh, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan itu.

“Pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya telah berlaku.

“Pihak pendakwaan membuktikan bahawa tertuduh adalah orang yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa pergi ke rumahnya.

“Selain itu, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh ketika kejadian,” katanya dalam prosiding di akhir kes pembelaaan itu.

Tambah beliau, mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda.

“Kes ini melibatkan mangsa yang juga masih muda dan kesan trauma itu akan terus berada dalam ingatannya sehingga akhir hayat.

“Justeru, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan bukan saja pengajaran kepada tertuduh malah bagi orang awam lain secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes rogol yang semakin berleluasa.

“Kredibiliti tertuduh yang mempunyai latar belakang agama dipandang tinggi, namun  dia menggunakan kedudukan itu untuk mengambil kesempatan ke atas mangsa.

“Saya memohon hukuman penjara tertuduh sekurang-kurangnya selama 12 tahun dan perlu membayar kos pendakwaan berjumlah RM5,000,” katanya.

Namun, peguam Syed Amirul Syed Edros memohon pelaksanaan penangguhan hukuman kerana anak guamnya itu sudah berkahwin dan baharu sahaja menimang bayi perempuan sulungnya.

“Ini kesalahan pertama tertuduh yang tiada memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan beliau bekerja sendiri dengan gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM5,000.

“Justeru, saya memohon penangguhan hukuman dan akan memfailkan rayuan. Jika tertuduh berada dalam penjara, ia menimbulkan kesan signifikan,” katanya.

Norazlin bagaimanapun menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan dan hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Namun, Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022.

Selain kes itu, Syed Shah Iqmal turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta sebelum dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya