Jin Wei tetap banggakan negara

Jin Wei tetap banggakan negara

Goh Jin Wei kecewa selepas tewas kepada Kim Ga Eun pada aksi terakhir peringkat kumpulan Sukan Olimpik Paris 2024. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terima kasih, Goh Jin Wei! Perjuangan anda akan tetap dihargai rakyat Malaysia.

Perjalanan yang penuh liku pemain perseorangan No. 1 negara itu akhirnya menemui titik noktah apabila tunduk kepada pemain No. 17 dunia, Kim Ga Eun dalam aksi terakhir Kumpulan H pada Sukan Olimpik di Paris, Perancis, semalam.

Anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menghuni ranking ke-32 dunia itu tewas rubber set kepada wakil Korea Selatan tersebut 17-21, 22-20, 21-23 dalam aksi yang berlanjutan lebih sejam.

Bagaimanapun, bekas juara remaja dunia itu tidak mahu memberi sebarang alasan apabila menyifatkan kekalahan itu adalah berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

“Memang ada peluang tetapi saya tidak dapat menyudahkannya. Ga Eun mengawal tekanan dengan lebih baik dalam perlawanan hari ini (semalam) berbanding saya.

“Saya tidak mahu beri sebarang alasan kerana apa yang berlaku disebabkan kesilapan saya sendiri. Saya akan lihat semula rakaman perlawanan dan tengok apa lagi yang kurang untuk saya perbaiki,” kata Jin Wei.

Di sebalik kegagalan untuk mara ke pusingan kalah mati, pencapaian layak beraksi di Olimpik Paris kali ini satu pencapaian membanggakan buat Jin Wei mengambil kira pelbagai kisah suka duka dialami pemain itu dalam kerjayanya.

Jin Wei yang suatu ketika dianggap sebagai permata berharga badminton negara pernah mengumumkan persaraan pada September 2021 selepas terpaksa menjalani pembedahan membuang usus perutnya.

Bagaimanapun, dia keluar daripada persaraannya lima bulan dan bergelar pemain profesional.

Anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menghuni ranking ke-32 dunia itu, tekad kembali bangkit mencipta kejayaan pada kejohanan seterusnya dan kekalahan ini tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain badminton.

“Saya akan terus berjuang, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya dalam hidup ini. Saya akan perbaiki kelemahan untuk menghadapi cabaran seterusnya tetapi buat sementara saya mahu berehat dulu,” ujarnya.

Jin Wei merupakan pemain perseorangan wanita terbaik negara sehingga kini dan pemain muda seperti K. Letshanaa serta Wong Ling Ching masih belum mampu bersaing dengannya.

Selain memberi fokus kepada pembangunan pemain muda bagi menemani Jin Wei di pentas antarabangsa, karier pemain berusia 24 tahun itu diharap mendapat sokongan sepenuhnya daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Keadaan kesihatan Jin Wei yang sering mengganggunya perlu diberi perhatian lebih kerana suka atau tidak suka dia masih pemain terbaik perseorangan wanita yang Malaysia ada.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya