PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang boleh memasang impian ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA28) tetapi bukan atas kapasiti sebagai atlet, sebaliknya memainkan peranan di belakang tabir sebagai jurulatih atau pengurus skuad berbasikal trek.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Ramli berkata, ketika ini, segalanya bukan tentang kekecewaan Azizulhasni semata-mata selepas berdepan penamat tragis’ di Paris tetapi ia tentang ekosistem berbasikal trek negara yang memerlukan muka baharu.
Katanya, sekiranya Azizulhasni yang popular dengan gelaran The Pocket Rocketman masih memasang impian beraksi di LA28, ia dikhuatiri akan menafikan peluang pelapis-pelapis yang mempunyai bakat untuk menonjolkan diri di pentas tertinggi.
“Walaupun tidak menafikan kekuatan fizikal dan mental yang dimiliki jaguh berusia 36 tahun itu, ramai yang berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk Azizulhasni membuat keputusan yang lebih bijak mengenai kariernya.
“Bayangkan berapa umur Azizulhasni Ketika LA28 berlangsung?, memang dia nampak masih boleh tetapi hakikatnya dia sudah berusia. Bukan kita mahu menidakkan keupayaannya untuk beraksi tetapi semua aspek perlu diambil kira.
“Jadi adalah lebih baik sekiranya dia ke LA28 atas kapasiti lain, bukannya sebagai atlet. Mungkin jurulatih, pembantu atau pengurus pasukan. Itu selayaknya untuk bekas juara dunia untuk membantu Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Azizulhasni, yang menjadi harapan untuk menamatkan penantian emas negara di temasya sukan terbesar dunia itu, mengalami nasib malang selepas disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin, Sabtu lalu.
Penyertaan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu dibatalkan selepas didapati memotong derny (basikal elektrik yang bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek, menyebabkan perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.
Beliau yang mengumumkan bahawa perlumbaan di Paris itu adalah kayuhan terakhirnya sebelum bersara, bagaimanapun memberi bayangan bahawa beliau sedia mempertimbangkan semula keputusan itu sejurus tiba di tanah air.
Mengulas lanjut, Pekan berkata, semua pihak menghormati serta meletakkan Azizulhasni selaku atlet berjiwa besar biarpun beliau kecundang di Paris dan sekiranya mengumumkan persaraan, tiada siapa yang akan mengecam keputusannya.
“Bagi saya jika dia bersara, semua orang boleh terima termasuk apa yang berlaku di Paris. Dia sememangnya sudah banyak jasa kepada sukan negara dan mungkin selepas ini dia boleh memainkan peranan lain dalam kem berbasikal trek negara.
“Pengalaman yang dia ada boleh bantu skuad pecut dan keirin negara, pengalamannya sangat mahal dan boleh memberi nilai tambah kepada Shah Firdaus Sahrom dan ramai lagi atlet pelapis yang mengintai peluang untuk naik,” katanya.-UTUSAN