PETALING JAYA: Barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa dahagakan kejayaan dan membuat persiapan rapi untuk berdepan mana-mana pasukan dalam semua perlawanan akhir.
Penyerang JDT, Bergson Da Silva berkata, persiapan rapi dibuat bagi memastikan Harimau Selatan dapat menggembirakan penyokong setia yang berada di belakang pasukan selama ini.
“Kami membuat persediaan yang banyak untuk perlawanan ini (menentang Selangor dalam final Piala FA). Semua perlawanan akhir, kami buat seperti ini. Kami buat persediaan dan tunjukkan karakter sebenar kami.
“Kami perlu ucapkan terima kasih kepada bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) untuk terus menekan dan membangun dalam momen-momen penting pada musim ini.
“Kami tidak boleh duduk berehat dalam kelab ini dan tidak boleh berpuas hati dengan satu-satu kejayaan. Kami perlu sentiasa dahagakan (kejayaan),” kata Bergson selepas perlawanan akhir Piala FA, kelmarin.
Terdahulu, JDT yang dikendalikan Hector Bidoglio melakar sejarah baharu Liga Malaysia (Liga M) apabila meraih kejayaan hatrik dalam saingan Piala FA apabila membenam Selangor 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada aksi final itu Juan Muniz menjadi wira JDT apabila meledakkan hatrik buat pasukannya selain Bergson, Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi turut meledak satu gol bagi menghadiahkan kemenangan besar JDT.
Dalam pada itu, Heberty berkata, JDT layak untuk menjulang Piala FA selepas semua pemain bekerja keras dan mempamerkan kualiti terbaik.
“Kami fikir ini (aksi menentang Selangor) adalah permainan yang sukar. Kami menghormati antara satu sama lain, tetapi kami melakukan yang terbaik. Semua pemain bekerja keras, mencipta peluang dan menjaringkan gol.
“Ia adalah satu perasaan cukup bagus untuk mencetak jaringan di pentas akhir kerana ia membawa pelbagai emosi. Tetapi, apa yang lebih mengujakan adalah apabila saya dapat membantu pasukan,” katanya.-UTUSAN