PARIS: Selepas berjaya meloloskan diri daripada ‘kumpulan maut’ beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah sekali lagi berdepan laluan getir menentang pemenang pingat gangsa edisi lalu, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan, hari ini.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah enggan goyah kepada lawan ranking nombor 10 dunia itu, sebaliknya mahu fokus dan menjalani proses pemulihan menjelang perhitungan suku akhir berkenaan.
Thinaah berkata, Institut Sukan Negara (ISN) menjadi ‘orang’ penting menjelang aksi menentang gandingan Korea Selatan dalam menganalisis permainan sebelum ini.
“ISN yang berada di sini dengan kami sangat membantu. Mereka membantu kami sebanyak yang mungkin bagi proses pemulihan selepas permainan. Mereka sentiasa berada dengan kami 24 jam bila kami mahu bantuan seperti mandian ais dan sebagainya.
“Saya rasa itu perkara yang penting untuk bersedia dalam aksi seterusnya. Selain daripada itu, kami perlu mendapat rehat secukupnya dan berbincang dengan jurulatih untuk strategi baharu dan memberi 100 peratus dalam perlawanan esok (hari ini),” kata Thinaah.
Beregu nombor 12 dunia ini hanya bertemu dalam satu pertemuan dengan So Yeong-Hee Yong yang mana Pearly-Thinaah tewas kepada mereka pada perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Dunia 2021 lalu.
Sementara itu, Pearly mengakui beliau bersama Thinaah sudah menemui sentuhan sebenar selepas sekian lama bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik.
“Kami sudah melepasi peringkat kumpulan yang sukar. Sudah tentu kami bersedia setiap perlawanan yang sukar. Apa yang kami perlu kini hanya fokus dan kekal bertenang menjelang perlawanan seterusnya.
“Namun ini bukan permainan sebenar kami, jadinya kami sudah berbincang dengan jurulatih dan pegawai ISN turut berganding bahu dalam usaha menjadi diri kami yang sebenar,” jelas Pearly.
Untuk rekod, bekas juara Terbuka Perancis menjadi beregu wanita kedua negara yang melangkah ke suku akhir di pentas Olimpik selepas gandingan wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2016 di Rio.-UTUSAN