PARIS: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendedahkan sudah menerima keputusan ujian jantina petinju Algeria, Imane Khelif, tahun lalu.
Menurut pegawai Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) memberikan data yang mana menyatakan Khelif dan petinju Taiwan, Liu Yu-Ting mempunyai DNA lelaki sekali gus penyertaan mereka dibatalkan ketika Kejohanan Dunia tahun lalu.
IOC menerima maklumat yang mana ujian mengandungi kromosom XY seperti lelaki daripada IBA yang diketuai oleh Umar Kremlev dari Russia namun, menganggapnya tidak sah.
Jurucakap IOC, Mark Adams berkata badan induk berkenaan mengesahkan maklumat tetapi tidak mempersoalkan isi kandungannya, sebaliknya mengkritik kesahihan ujian terbabit.
“Ujian berkenaan tidak sah. Tidak ada sebab untuk menjalankan ujian. Bagi saya, keputusan mengadakan ujian berkenaan adalah kerana salah seorang petinju itu menewaskan petinju Russia.
“Bagi saya proses ujian itu tidak sah. Saya bukan pakar perubatan, tetapi prosesnya tidak betul,” kata Adams.
Selepas kontroversi membabitkan Khelif dan petinju Itali, Angela Carini di Paris, lawan Yu-Ting, Svetlana Staneva dari Bulgaria turut meluahkan rasa tidak puas hati selepas tewas.
Staneva membuat simbol X sebanyak dua kali dengan jarinya dan jurulatihnya turut mengangkat kertas putih yang tertulis ‘Saya hanya mahu bermain dengan wanita, saya XX.’
Khelif akan menentang petinju Thailand, Janjaem Suwannapheng esok manakala Yu-Ting berdepan Esra Yildiz dari Turkiye pada Rabu ini. – AGENSI