PETALING JAYA: Impian untuk menyaksikan jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menghidupkan harapan pemburuan pingat emas pertama negara musnah apabila dia tumbang di tangan bintang muda Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada separuh akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, semalam.
Anak jati Alor Setar, Kedah yang menghuni ranking No. 7 dunia itu tewas straight set di tangan pemain No. 8 dunia tersebut 14-21, 15-21 di Arena Porte De La Chapelle.
Walaupun gagal dalam misinya memburu tempat ke perlawanan akhir, Zii Jia sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaiannya pada temasya 2020 di Tokyo apabila dia terkandas di peringkat 16 terbaik.
Perjalanan Zii Jia di Paris, bagaimanapun, masih belum berakhir apabila dia bakal turun, hari ini dalam perlawanan perebutan pingat gangsa.
Kegagalan itu juga menyaksikan Zii Jia mengikuti jejak langkah dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah yang turut terkandas di peringkat separuh akhir.
“Esok (hari ini), masih ada satu lagi perlawanan bagi perebutan pingat gangsa, sebenarnya bukan mudah untuk melangkah ke separuh akhir tetapi saya sudah terlepas peluang untuk membawa pulang pingat emas atau perak.
“Musuh terbesar saya adalah diri saya sendiri dan Kunlavut pula bermain dengan sangat bagus dan keyakinannya juga sangat tinggi,” kata Zii Jia selepas perlawanan.
Kini Kontinjen Malaysia sudah boleh melupakan sukan badminton dan mengalihkan fokus kepada jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang akan membuka tirai cabaran dalam acara keirin serta pecut bermula Rabu dan Sabtu depan-UTUSAN