Hujan sekejap tidak mampu pulihkan paras sungai, empangan

Hujan sekejap tidak mampu pulihkan paras sungai, empangan

hujan
TOK Empat Kampung Pesagi, Abdul Rahim Yaakob berjalan di ‘dasar’ Sungai Pahang bagi meninjau keadaan persekitaran sungai yang kering di Kampung Pesagi, Chenur, dekat Maran, Pahang. semalam. – UTUSAN/ SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hujan antara satu hingga dua jam di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia tidak mampu menaikkan paras air sungai utama dan beberapa empangan yang semakin surut akibat cuaca panas.

Walaupun hujan sekejap ini memberikan sedikit kelegaan, ia tidak mampu untuk menampung keperluan air yang diperlukan bagi mengatasi kesan kekurangan bekalan air yang ketara.

Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Aweng Eh Rak berkata, hujan yang turun tidak konsisten kerana hanya berlaku di beberapa kawasan dan berakhir dalam tempoh singkat.

“Untuk memastikan air dapat mengalir ke dalam takungan dan sungai, kawasan tadahan perlu dikekalkan dengan baik.

“Ini kerana sumber air berasal dari beberapa sungai di hulu yang akan mengalirkan air ke dalam takungan atau sungai utama.

“Jika hujan hanya turun bagi beberapa jam dan kawasan tadahan yang ada sudah berkurangan serta tidak dalam keadaan baik, saya rasa ia tidak mencukupi untuk meningkatkan paras air dalam takungan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan taburan hujan rendah dijangka berterusan bermula fasa peralihan monsun yang menyebabkan Malaysia berdepan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, hujan sekejap-sekejap boleh membantu menurunkan suhu permukaan tanah dan udara dengan memberikan penyejukan sementara.

Kata beliau, hujan ini membantu mengurangkan suhu permukaan melalui penyejatan air, yang menyerap haba dari persekitaran.

“Namun, hujan sekejap-sekejap tidak mencukupi untuk mengurangkan kesan cuaca panas secara keseluruhan. Ini kerana kelembapan tambahan dari hujan dapat meningkatkan kelembapan udara, yang boleh meningkatkan rasa panas dan ketidakselesaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN