PARIS: Thierry Henry telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih pasukan bawah 21 (B-21) Perancis, kata Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF).
Penyerang lagenda Perancis itu mengambil langkah tersebut selepas memimpin skuad bawah 23 (B-23) negaranya memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Henry melepaskan jawatannya itu walaupun mempunyai baki kontrak hingga Jun 2025 atas sebab peribadi, menurut badan induk bola sepak Perancis.
Henry memimpin Perancis ke final bola sepak lelaki Sukan Olimpik buat kali pertama sejak memenangi pingat emas dalam acara tersebut pada Olimpik 1984 di Los Angeles.
Skuad bimbingannya itu tewas 5-3 dalam masa tambahan menentang Sepanyol, yang menyaksikan Henry terpaksa melakukan beberapa perubahan terhadap pasukannya.
Perubahan itu terpaksa dilakukan selepas keengganan beberapa kelab melepaskan pemain mereka bagi menyertai temasya tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FFF dan Presiden, Philippe Diallo kerana memberi peluang ini.
“Memenangi pingat perak Sukan Olimpik untuk negara saya akan kekal sebagai salah satu detik paling bangga dalam hidup. Saya amat bersyukur kepada persatuan, pemain, kakitangan dan penyokong kerana memberi saya pengalaman ajaib ini,” kata Henry dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Diallo turut mengucapkan terima kasih kepada juara Piala Dunia 1998 itu di atas segala usaha yang dilakukannya sebagai jurulatih B-21 dan pasukan Olimpik Paris.
“Sudah pasti kami kesal dengan keputusan ini kerana Henry berjaya mencapai objektif yang ditetapkan kepadanya dengan memenangi perak dalam Sukan Olimpik Paris.
“Selepas bekerjasama dengannya sepanjang temasya ini, saya menyaksikan secara langsung sikap profesional, ketelitian, kecintaan dia terhadap jersi biru (Perancis),” kata Diallo. – AFP