PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan khidmat bekas fisioterapi dan doktor dari kelab terkemuka dunia, Barcelona bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya.
FAM menerusi akaun rasmi Facebook miliknya berkata dua individu yang sebelum ini bertugas di kelab Sepanyol, Barcelona akan menyertai kem latihan pertama skuad kebangsaan bersama jurulatih baharu, Pau Marti Vicente.
“Edu Martinez yang berkhidmat sebagai fisioterapi selama 12 tahun di Barcelona sejak 2013 serta menjadi fisioterapi pasukan utama kelab itu dari Disember 2022 hingga Jun 2024 telah tiba di tanah air, semalam.
“Martinez menyertai skuad Harimau Malaya sebagai fisioterapi untuk kem latihan kali ini dan akan bekerjasama dengan fisioterapi FAM, Mohamad Harris Zafran Ahmad Haraman bagi sesi terapi dan pemulihan kecederaan pemain sepanjang kem latihan.
“Sementara seorang lagi individu ialah Dr. Xavier Valle, bekas doktor pasukan di Barcelona sejak 2004 serta menggalas tanggungjawab sebagai doktor pasukan untuk pasukan utama kelab berkenaan sejak musim 2021-2022 hingga musim 2023-2024,” katanya.
Bagaimanapun, FAM berkata Dr. Xavier tidak hadir secara fizikal sebaliknya bertindak sebagai doktor perunding yang akan bekerjasama dengan pasukan perubatan Harimau Malaya bagi meneliti setiap kecederaan membabitkan pemain sepanjang kem latihan.
Sebagai rekod, Dr. Xavier pernah bersama skuad kebangsaan di Kuala Terengganu sepanjang kem latihan pusat bagi dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Kem latihan Harimau Malaya pada kali ini adalah persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka edisi ke-43 yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 hingga 8 September ini.
Harimau Malaya dijadual menentang Filipina pada 4 September dengan satu lagi aksi menyaksikan Lubnan bertemu Tajikistan juga pada tarikh sama.
Juara kedua-dua perlawanan itu akan berentap di final selepas pasukan yang tewas mengharungi aksi penentuan tempat ketiga pada 8 September. – UTUSAN