Hannah mohon maaf, pulang tanpa kilauan emas

Hannah mohon maaf, pulang tanpa kilauan emas

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama kem berbasikal trek negara ketika sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia berikutan gagal memenuhi sasaran untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Hannah berkata biarpun kontinjen negara gagal membutirkan emas pertama negara namun terdapat pelbagai peningkatan prestasi dipamerkan oleh atlet negara ketika di Paris.

“Saya bagi pihak kontinjen malaysia memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya untuk bawa pulang pingat emas pertama negara.

“Seperti yang dimaklumkan, projek Road To Gold (RTG) adalah untuk dua edisi Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles (LA) 2028. Apa yang kita dapat lihat kali ini menyatakan ada peningkatan membabitkan atlet RTG.

“Rekod kebangsaan yang berjaya dilakukan oleh tiga atlet iaitu Datuk Azizulhasni Awang dan Nurul Izzah Izzati Asri (berbasikal) serta juga Aniq Kasdan (angkat berat).

“Setiap atlet yang pergi ke Paris bertungkus lumus untuk mendapatkan pingat seperti Pearly Tan-M Thinaah, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Lee Zii Jia dan Aniq. Begitu juga Shah Firdaus yang berjuang habis-habisan,” katanya.

Sementara itu, Hannah mendedahkan Jawatankuasa RTG akan mendapatkan laporan penuh dari setiap pasukan sebelum membentangkannya di Parlimen.

“Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal daripada setiap pasukan. Kami sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan akan dibentangkan di Parlimen.

“Kami akan menjawab isu akaun dan kami menggunakan dana dengan telus. Semua permintaan dan perkhidmatan tambahan daripada pihak berkepentingan, iaitu jurulatih dan atlet telah kami sampaikan sebelum mereka berangkat ke Paris,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN