PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa kerajaan negeri Terengganu tidak bersikap diskriminasi dalam pemberian insentif kemenangan dua atlet terjun dari negeri itu yang merangkul pingat gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Hannah menerusi akaun Facebook miliknya berkata isu tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan setiap atlet yang mahu bertanding dalam temasya dwitahunan itu perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri masing-masing.
Jelasnya lagi, sekiranya isu pakaian atlet wanita menjadi halangan ia secara tidak langsung boleh memberi kesan terutamanya dalam melahirkan bakat baharu.
“Pihak kementerian bimbang dengan arahan kerajaan negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Sebelum ini, dua wakil terjun Terengganu Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran yang meraih gangsa dalam acara 10 meter platform seirama telah mencetus polemik kerana tidak mematuhi pemakaian patuh syariah ditetapkan untuk atlet negeri itu.
Sehubungan dengan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokthar berkata insentif kedua-dua atlet tersebut layak dipertimbangkan dan akan ditentukan kelak.
Dalam pada itu, Hannah turut berkata Uzlifatil dan Ilyssa akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan malah jika konsisten mencipta kejayaan kedua-duanya akan diserap menyertai skuad pelapis kebangsaan.
“Pengarah teknikal sukan terjun negara, Bryan Nickson telah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” katanya lagi. – UTUSAN