KUCHING: Pelari 400 meter (m) lari berpagar negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir mencipta sensasi apabila menjadi atlet pertama yang memecahkan rekod kebangsaan dalam sukan olahraga di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Fakrul, 20, yang mewakili Kelantan cemerlang apabila merekod catatan masa terpantas 51.11 saat (s) sekali gus memenangi pingat emas pada aksi final di Stadium Sarawak semalam.
Keputusan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 51.26s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Yecheon, Korea Selatan pada 7 Jun tahun lalu.
“Pertama sekali saya cukup gembira kerana dapat habiskan larian dengan baik dan memecahkan rekod saya sendiri. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya terutamanua jurulatih dan kedua-dua ibu bapa saya.
“Pada awalnya memang saya datang ke Sukma dengan misi untuk memecahkan kebangsaan,” katanya.
Sementara, pingat perak acara itu dimenangi atlet Johor, Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar (53.20s) manakala gangsa menjadi milik Emmanuel Muphy Josbert dari Wilayah Persekutuan (53.50s).
Dalam saingan wanita, pelari Johor, Nur Shaqirah Cik Mat Kilau merangkul emas dengan catatan 63.36s diikuti seorang lagi wakil Kelantan, Siti Nur Faqihah Saidi (63.44s) manakala atlet Sabah, Frenynila Sherly Lucius memenangi gangsa (64.22s).-UTUSAN