PETALING JAYA: Dua beregu campuran Malaysia terkandas di suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Yokohama Kanagawa, Jepun, sebentar tadi.
Pasangan No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akur kepada gandingan No. 4 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 16-21, 18-21 dalam masa 34 minit.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua beregu itu kini berpihak kepada Zhen Bang-Ya Xin 2-1.
Satu-satunya kemenangan yang berjaya dicatat Tang Jie-Ee Wei ke atas pilihan kedua kejohanan itu ialah pada suku akhir Terbuka Orleans di Perancis, tahun lalu.
Terbuka Jepun merupakan Jelajah Dunia pertama disertai beregu campuran No. 1 Malaysia itu selepas tewas pada suku akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Sementara itu, satu lagi wakil negara, beregu ke-21 dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tunduk kepada pasangan No. 8 dunia, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 21-18, 23-25, 9-21 dalam 1 jam 8 minit.
Kekalahan kedua-dua beregu campuran itu menyaksikan Malaysia tidak memiliki wakil dalam kategori tersebut pada separuh akhir, esok, selepas satu lagi pasangan, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai tersingkir seawal peringkat 32 terbaik. – UTUSAN