PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri berhasil mara ke separuh akhir menerusi acara 3 meter (m) papan anjal wanita selepas menduduki tempat ke-12 pada aksi kelayakan, sebentar tadi.
Atlet berusia 25 tahun itu berjaya mengumpul 283.65 mata selepas lima terjunan.
Selepas ini beliau akan beraksi bagi merebut tempat dalam 10 terbaik daripada 18 penerjun yang bertanding.
Pemenang pingat emas edisi lalu, Chen Yiwen dari China membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila menungguli saingan dengan catatan 356.40 mata.
Carta kedua menyaksikan wakil Australia, Keenet Maddison dengan 337.5 mata diikuti atlet Mexico, Vazquez Montano dengan 321.75 mata di tempat ketiga.
Aksi separuh akhur akan bermula pukul 4 petang waktu tempatan bagi merebut 10 tempat terbaik ke final di Pusat Akuatik Saint-Denis. – UTUSAN