PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri tekad untuk membuktikan slot ‘unused quota’ itu berbaloi diraih menjelang aksi akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita, esok.
Penerjun berusia 25 tahun itu mengakui latihan dan persiapannya yang suntuk susulan dipilih saat akhir untuk mewakili Malaysia ke Paris mengakibatkan terjunannya kurang memberangsangkan pada aksi separuh akhir petang tadi.
“Macam roller coaster, terjunan pertama dan kedua sangat baik. Masuk yang ketiga ianya kurang memuaskan. Jurulatih beritahu saya kita perlu bangkit semula.
“Saya mahu buktikan kepada semua bahawa walaupun saya layak menerusi unused quota, saya masih layak berada di pentas Olimpik dan saya masih seorang Olimpian,” katanya dalam sesi temu bual dalam laporan sebuah televisyen tempatan.
Dhabitah menjadi pilihan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk bersaing di Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan Akuatik Dunia (WA) memberi satu slot unused quota kepada Malaysia.
Terdahulu beliau berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas menduduki tangga kelapan daripada 18 atlet dengan mencatat sebanyak 286.95 mata dalam lima terjunan.
Untuk rekod, Dhabitah terlepas pingat gangsa pada Tokyo 2020 selepas menduduki tempat keempat dengan 326.15 mata apabila penerjun Amerika Syarikat menduduki carta ketiga mencatat 342.75 mata.
Acara akhir 3m papan anjal wanita akan berlangsung pada pukul 9 malam esok di Pusat Akuatik Paris.
Seorang lagi penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises turut beraksi menerusi aksi kelayakan acara 10m platform pada pukul 4 petang esok. – UTUSAN