PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya mara ke peringkat akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita selepas menduduki tangga kelapan pada aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Penerjun berusia 25 tahun itu berjaya menempatkan diri di kedudukan 12 terbaik daripada 18 atlet selepas mengumpul 286.95 mata dalam lima terjunan.
Pemenang pingat emas Tokyo 2020, Chen Yiwen dari China kekal sebagai pencabar utama apabila mengungguli saingan terbabit dengan 360.85 mata.
Wakil Australia Madison Keeney meraih tempat kedua dengan 334.70 mata diikuti penerjun Itali, Chiara Pellacani yang meraih 324.75 mata di carta ketiga.
Hanya 12 penerjun terbaik meloloskan diri ke final bagi acara merebut kilauan pingat emas berkenaan.
Acara akhir 3m papan anjal wanita akan berlangsung pada pukul 9 malam esok di Pusat Akuatik Paris. – UTUSAN