Dapat juga pingat, walaupun gangsa- Aaron

Dapat juga pingat, walaupun gangsa- Aaron

AARON Chia dan Soh Wooi Yik (kanan) ketika menerima pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.-IHSAN MOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik perasaan lega kerana masih mampu menghadiahkan pingat gangsa Sukan Olimpik di Paris buat Malaysia, namun, beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan meraikan kejayaan itu secara besar-besaran.

“Saya rasa tidak banyak yang perlu diraikan kerana kami hanya membawa pulang pingat gangsa, sasaran kami lebih tinggi sebenarnya.

“Sekurang-kurangnya buat masa ini kami dapat juga pingat walaupun gangsa,” kata Aaron yang mungkin berasa terkilan kerana tidak mampu menjelmakan pingat emas pertama Kontinjen Malaysia sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir, kelmarin.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, banyak yang dia dan Wooi Yik belajar dalam tempoh tiga tahun persediaan sebelum ke Paris.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka telah merasai gelaran sebagai juara dunia dan kini memenangi warna pingat yang sama di Olimpik.

“Jika kita mahu lihat dari sudut yang negatif, sesiapa sahaja boleh berkata kami hanya dapat pingat gangsa, tetapi daripada sudut positif pula, sekurang-kurangnya kami masih mampu mendapatkan pingat di Olimpik,” tegasnya.

Aaron berkata, selepas ini, dia dan Wooi Yik akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk menyambung baki kejohanan yang dijadualkan untuk disertai mereka sehingga hujung tahun ini.

“Habiskan tahun ini dulu dan kita akan bermula semula, saya rasa bermula tahun depan persediaan sudah boleh dilakukan untuk Los Angeles 2028, jika kita hendak melayakkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Wooi Yik pula yang mengimbas perjalanan karier mereka sejak edisi 2020 di Tokyo, dia serta Aaron kini semakin matang mengharungi perjalanan jauh yang cukup berliku dan berharap mereka masih mampu memberikan yang terbaik pada LA 2028.

Ketika ditanya bagaimana dia dan Aaron menyelamatkan situasi genting sewaktu ketinggalan empat mata akhir dalam set kedua, Wooi Yik berkata, dia percaya keajaiban itu boleh berlaku dan sempat berpesan kepada Aaron jangan sesekali mengalah walaupun mereka pada ketika itu diambang kekalahan.

“Saya cuma berkata kepada Aaron kita jangan sesekali berputus asa, ini permainan terakhir kami jangan bagi mata mudah kepada lawan, terus berjuang dan percaya kepada diri sendiri bahawa keajaiban itu boleh berlaku.

“Apabila kami berjaya mengikat kedudukan menjadi 20-20, kami percaya kepada diri sendiri game kedua itu mampu kami tukarkan kepada kemenangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN