Cita-cita Anies jadi calon Gabenor Jakarta tidak kesampaian

Cita-cita Anies jadi calon Gabenor Jakarta tidak kesampaian

ANIES BASWEDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Laluan bekas calon Presiden Indonesia, Anies Baswedan untuk bertanding Pilihan Raya Gabenor Jakarta tidak kesampaian apabila Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) mencalonkan nama lain.

Hal ini setelah PDIP memutuskan untuk mencalonkan pemimpin parti iaitu Pramono Anung sebagai bakal calon Gabenor dalam Pilihan Raya Jakarta 2024. 

Pramono, yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung PDI-P akan didampingi oleh bekas Gabenor Banten, Rano Karno sebagai calon Timbalan Gabenor.

Menurut Bendahari PDIP, Olly Dondokambey, kedua-dua calon ini dijangka akan mendaftarkan diri secara rasmi ke Suruhanjaya Pemilihan Umum Jakarta pada hari ini pada pukul 11 pagi.

Namun Olly menegaskan PDIP tidak akan membuat pengumuman rasmi mengenai pencalonan ini seperti calon-calon kepala daerah yang lain sebaliknya, beliau meminta agar media terus membuat liputan sewaktu pendaftaran calon.

Keputusan PDIP untuk mencalonkan Pramono Anung bagi Pilkada Jakarta mengejutkan banyak pihak, terutama setelah terdapat spekulasi PDIP mungkin akan meletakkan Anies.

Petunjuk mengenai pencalonan Anies muncul selepas kunjungannya ke Ibu Pejabat PDIP pada Isnin lalu, di mana beliau dilaporkan bertemu dengan Rano Karno yang dikatakan bakal menjadi pasangan calonnya.

Namun, pemerhati politik berkata PDIP berhak untuk mengutamakan ahlinya sendiri dalam pemilihan calon gabenor. 

“Memang sudah menjadi prinsip PDIP untuk mengutamakan ahlinya. Maka, tidak hairan jika Pramono Anung yang diusung sebagai calon gabenor, bukan Anies, kerana Anies bukan ahli,” ujar Ujang Komarudin, pemerhati politik.

Menurut Ujang, keputusan untuk tidak mengusung Anies tidak seharusnya dipersoalkan kerana PDIP memiliki tradisi untuk mengutamakan ahli yang telah berkorban untuk parti. 

Keputusan untuk mencalonkan Pramono dan Rano dilihat sebagai pertaruhan bagi PDIP, namun tetap mencerminkan komitmen parti tersebut untuk terus mengutamakan ahli parti dalam setiap pertandingan politik.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN