BUENOS AIRES: Pemain Argentina, Angel Di Maria meluahkan kebimbangan mengenai keselamatannya yang menyebabkan dia tidak akan menghabiskan kariernya di kampung halaman di Rosario selepas kepala khinzir yang diletakkan peluru dilemparkan ke tempat perniagaan keluarganya.
Pemain berusia 36 tahun yang memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada 2022 dan Copa America, sebelum ini menyatakan hasratnya untuk kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya di bandar ketiga terbesar negara itu namun baru-baru ini menyaksikan peningkatan dalam jenayah berkaitan kegiatan gangsterisme.
“Terdapat ancaman di perniagaan kakak saya, ia adalah sebuah kotak dengan kepala babi dan peluru di dahi, serta nota yang mengatakan bahawa jika saya kembali ke Central (Rosario), kepala seterusnya adalah kepala anak perempuan saya, Pia.
“Saya tidak akan kembali ke Rosario dengan cara ini. Mereka menyentuh keluarga saya dan saya tidak akan membiarkannya,” kata Di María kepada stesen TV Rosario3.
Di Maria yang pernah bermain untuk Manchester United menghadapi ancaman lain termasuk nota yang dilemparkan ke harta keluarga Mac lalu dan mengancam nyawa mereka jika dia menyertai mana-mana kelab di Rosario, sebuah bandar di wilayah Santa Fe.
Pihak berkuasa Argentina pada masa itu berkata nota tersebut mengandungi ancaman dari ‘organisasi jenayah’ yang menunjukkan kekuatan mereka.
Gabenor Santa Fe, Maximiliano Pullaro berkata, bulan ini terdapat protokol yang disediakan untuk menjamin keselamatan tokoh-tokoh awam.
Bagaimanapun, Di María berkata dia tidak bersetuju: “Ia adalah tidak hormat untuk bercakap mengenai keselamatan dan protokol untuk saya apabila orang-orang dari Rosario tidak boleh keluar bekerja, tidak boleh menunggu bas atau dibunuh kerana sebuah beg galas.”
Beberapa pemain bola sepak terkenal dari Amerika Selatan turut menghadapi tindakan jenayah termasuk ancaman dan jenayah serius seperti penculikan dan pemerasan.-UTUSAN