PETALING JAYA: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui tidak menyangka bahawa pasukannya terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.
Pengendali dari Argentina itu berkata dia dan pemainnya sentiasa menetapkan sasaran tiga mata dikutip daripada setiap perlawanan namun terpaksa akur untuk berkongsi satu mata.
“Tidak (jangka seri)…saya sentiasa mahu menang tetapi inilah bola sepak. Semua pasukan bekerja dan untuk kami semuanya sukar.
“Saya sukakan kemenangan. Saya dan pemain bekerja untuk menang setiap perlawanan tetapi ini bola sepak. Kami perlu teruskan mencari kemenangan, perbaiki kelemahan dan bermain lebih baik.
“Hari ini sukar sebab lawan bermain dengan bertahan. Kami gerakkan bola daripada satu bahagian ke satu bahagian tetapi kami tidak mempunyai ketepatan, jadi kami perlu memperbaikinya,” kata Bidoglio.
Kata jurulatih berusia 56 tahun itu lagi, dia menjangkakan saingan sengit diberikan oleh lawan namun berdasarkan keputusan perlawanan ia tidak mencerminkan keadaan sebenar.
“Bagi saya keputusan malam ini tidak menunjukkan aksi sebenar perlawanan sebab kami ada beberapa situasi (peluang) dan melepaskannya,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih PDRM FC, P. Maniam mengakui berasa gembira selepas melihat anak-anak buahnya meleburkan rekod kemenangan berturut-turut JDT dalam tujuh aksi Liga Super.
“Saya, barisan kejurulatihan, pengurusan dan pemain gembira kerana ini adalah kejayaan besar PDRM FC apabila kita dapat satu mata di Selayang. Selepas ini mereka perlu teruskan perjalanan ini
“Bukan mudah untuk menentang JDT. Mereka pasukan yang kuat dan ada pemain yang bagus,” katanya.
Pada aksi tersebut, tuan rumah terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-22 sebelum Oscar Arribas menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.-UTUSAN