Bekas Ahli Jawankuasa MAIDAM, isteri mengaku salah terima suapan, tipu agihan zakat - Utusan Malaysia

Bekas Ahli Jawankuasa MAIDAM, isteri mengaku salah terima suapan, tipu agihan zakat

MOHAMAD Zahari Harun (dua, kanan) dan isterinya Lydia Irmawati Mahmud (kanan) mengaku bersalah menerima suapan serta menipu agihan zakat di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekas ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan isterinya didenda RM26,000 kerana menerima suapan serta menipu agihan zakat.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Azhar Othman membuat keputusan itu hari ini setelah Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan pilihan yang ditawarkan, Mohamad Zahari didakwa menerima suatu harta iaitu wang berjumlah RM5,500 daripada isterinya itu yang juga pemilik sebuah syarikat.

Bayaran itu sebagai imbuhan berkaitan pemilihan syarikat Lydia Irmawati sebagai ejen kutipan zakat dan tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat MAIDAM pada 15 Julai 2020.

Tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lydia Irmawati pula didakwa telah menipu Penolong Akauntan Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM dengan memperdayakan mangsa untuk membayar tuntutan palsu bayaran wang zakat fakir miskin.

Perbuatan itu mendorong pembayaran berjumlah RM6,231.02 dikreditkan ke dalam akaun bank Amcare Agency milik Lydia Irmawati antara Disember 2020 sehingga Disember 2021.

Tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) manakala empat lagi diambil pertimbangan (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mohd. Azhar dalam penghakimannya berpendapat hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh bahkan kepada orang ramai secara amnya.

“Jika tidak dibendung, kesalahan ini boleh membawa kemusnahan lebih besar kepada masyarakat dan mahkamah berdoa hukuman ini menjadi pengajaran kepada semua,” jelas beliau.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM10,000 terhadap Mohamad Zahari manakala isterinya didenda RM4,000 bagi setiap daripada empat tuduhan dan dua bulan penjara jika gagal bayar.

Mahkamah turut mengarahkan wang dalam akaun Amcare Agency dilucuthak kepada kerajaan Malaysia selain memulangkan pasport dan wang jaminan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan pegawai pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili Azrul Zulkifli Stork. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN