KANGAR: Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin, 20, sedia menerima pelawaan untuk menyertai skuad kebangsaan selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, baru-baru ini.
Pada temasya itu, Muhammad Hafizuddin bagaikan tiada tandingan apabila berjaya memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) lelaki sekali gus merangkul pingat emas buat Perlis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Hafizuddin berkata, dia sememangnya mengidamkan untuk menyertai skuad kebangsaan tambahan pula usianya juga semakin meningkat.
“Ini memang peluang yang saya tunggu dan Insya-Allah saya akan menerima pelawaan untuk menyertai skuad kebangsaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddin berkata, buat masa ini, dia sedang berada dalam proses rehat dan tidak menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat.
Menurut anak kedua dari lima beradik ini, dia juga meletakkan sasaran bagi menyertai Sukan Sea dan beberapa temasya sukan berprestij lain bagi mengembangkan lagi kariernya dalam sukan angkat berat.
“Sasaran tertinggi saya adalah untuk menyertai Sukan Olimpik dan membawa nama negara ke pentas dunia,” katanya.
Tambahnya, dia juga turut berterima kasih kepada ibunya, Zaleha Matnik dan bapanya, Roslin Yahaya yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk terus kekal dalam sukan angkat berat.
“Terima kasih juga kepada Coach Hanie, Coach Aizul, Coach Faiz, Coach Pakku, Team SNC dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.-UTUSAN
Kapsyen
Muhammad Hafizuddin Roslin mempamerkan aksi cemerlang ketika beraksi di Sukma Sarawak 2024.