Azizulhasni pertimbangkan keputusan bersara

Azizulhasni pertimbangkan keputusan bersara

DATUK Azizulhasni Awang ketika sidang media sebaik tiba dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan mempertimbangkan semula keputusan sama ada beliau meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 ataupun bersara dalam masa terdekat.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata beliau perlu berbincang bersama keluarga terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai persaraan terbabit.

Menurutnya, pujukan dan desakan rakan sepasukan dan ketua jurulatih, John Beasley untuk beraksi pada Sukan Olimpik seterusnya sekali gus dilema dalam membuat keputusan terbabit.

“Selepas perlumbaan (Olimpik Paris) Beasley dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta rakan sepasukan menaruh harapan agar saya boleh mempertimbangkan untuk beraksi di LA 2028. Namun saya perlu berbincang bersama keluarga terlebih dahulu.

“Saya perlu kosongkan fikiran saya sebab apa yang berlaku (di Paris) adalah sesuatu yang sangat luar biasa dalam karier saya. Akan tetapi pada saya mereka tahu kalau saya berhenti berlumba saya masih aktif dalam sukan.

“Apapun, paling penting jika mereka mahu bantuan saya saya akan terus membantu tanpa alasan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

AZIZULHASNI tidak dapat menahan sebak ketika sidang media sebaik tiba di KLIA sebentar tadi berkongsi detik hitam berkenaan perlumbaan yang beliau tersingkir pada pusingan pertama keirin Sukan Olimpik Paris 2024, Sabtu lalu.

Sementara itu, Azizulhasni sentiasa berada berdekatan dengan pasukan berbasikal trek negara jikalau memerlukan khidmat beliau dalam tempoh membuat keputusan ini.

“Saya sentiasa berada di sini jika mereka mahu keberadaan saya. Jika Shah Firdaus mahu rakan regu, saya berada di sini. Bila-bila masa sahaja saya akan pertimbangkan jikalau ada masa,” kata Azizulhasni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN