PETALING JAYA: Masalah teknikal pada permulaan larian menjadi antara punca atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi gagal layak ke separuh akhir setelah tergelincir sedikit, menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tempat terakhir pada pusingan pertama.
Bekas Raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, berpendapat kegagalan Azeem disebabkan masalah teknikal pada permulaan larian.
Katanya, Azeem hampir terjatuh pada 30 meter pertama dalam pusingan kedua yang mengganggu momentum lariannya.
“Saya perhatikan Azeem hampir terjatuh pada permulaan larian. Ini mungkin mengganggu momentum dan prestasinya selepas mencatat 10.42 saat(s) dalam pusingan pertama.
“Selepas permulaan yang tidak stabil itu, saya menjangkakan Azeem boleh mencatat masa di bawah 10.42s dalam pusingan kedua, namun masalah tersebut menghalangnya,” kata Nazmizan.
Beliau juga menekankan kepentingan membuat persiapan mental dan fizikal yang konsisten biarpun Azeem miliki pengalaman bertanding di peringkat tinggi seperti Sukan Asia dan sebagainya.
“Saya percaya bahawa faktor utama kegagalan Azeem adalah masalah teknikal pada permulaan larian. Saya percaya Azeem boleh lakukan yang lebih baik,” jelasnya.
Sementara itu, Azeem mengakui kecewa selepas menamatkan pengembaraan di Olimpik Paris 2024 berakhir tanpa sebarang pencapaian iaitu sekurang-kurangnya memperbaharui rekod kebangsaan.
Menurut pelari berusia 21 tahun itu, ia bukanlah keputusan diinginkannya tetapi mengambil apa yang berlaku di Paris sebagai pembelajaran dan mengakui perjalanan kariernya juga masih jauh.
“Bukan keputusan yang saya nak, sudah cuba berikan yang terbaik tapi sepanjang musim ini ia tidak berjalan dengan baik.
“Kesimpulannya mengecewakan. Saya tidak pernah terfikir sejauh ini, jatuh seperti ini.
“Banyak proses pembelajaran yang saya dapat. Olimpik adalah pentas terbesar, impian terbesar buat semua atlet. Saya bersyukur mendapat peluang ini walaupun kecewa dengan diri sendiri,” kata Azeem.-UTUSAN