PETALING JAYA: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mahu memastikan dirinya tidak dibuai dengan mimpi indah selepas meraih pelbagai kejayaan bersama Harimau Selatan.
Sebaliknya pemain sayap Harimau Malaya yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA 2024 pada Sabtu lalu itu mahu terus bekerja keras untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya
Menurut Arif, misi untuk jadi terkenal tidak ada dalam kamus hidupnya kerana sasaran yang diletakkan adalah kekal konsisten memandangkan usianya yang masih muda dan perlu menempuh perjalanan yang panjang.
“Sasaran yang diletakkan dalam karier saya adalah untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Saya tidak mahu jadi terkenal, tetapi pemain yang berjaya satu hari nanti,” katanya.
Dalam aksi final Sabtu lalu, Arif berjaya mempamerkan prestasi cemerlang apabila meledak satu gol ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Selangor FC 6-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mengulas lanjut, pemain berusia 22 tahun itu mengakui agak bergelut sebelum ini ekoran masalah kecederaan, tetapi kejayaan meraih trofi berprestij itu menjadi memori yang sangat manis buat dirinya.
“Saya agak bergelut kerana baru pulih daripada kecederaan, tetapi Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi kapten pasukan dalam perlawanan sebelum ini.
“Saya percaya pasti ada kenangan manis dan saya dapat jaringkan gol (di final). Ini adalah perlawanan yang sukar, tetapi rakan sepasukan telah bekerja keras untuk menang aksi yang berintensiti tinggi kali ini,” katanya.
Arif bakal mengalihkan tumpuan bersama skuad Harimau Malaya yang akan memulakan kem latihan pusat esok bagi mengharungi saingan Pestabola Merdeka pada 4 dan 8 September ini.-UTUSAN
Kapsyen
AKSI Arif Aiman Hanapi ketika final Piala FA menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.-UTUSAN/AMIR KHALID