PETALING JAYA: Empat wakil Malaysia memastikan slot separuh akhir menjadi milik mereka dengan pilihan pertama, Aifa Azman mengetuai cabaran negara melepasi halangan peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Pemain No. 35 dunia itu memerlukan masa selama 41 minit sebelum berhasil menewaskan rakan senegara, J. Yasshmita 11-6, 8-11, 13-11, 11-2 di Kompleks Sukan Tan Seri Dato’ Hj Mohd Said.
Bagaimanapun, Aifa bakal berdepan ujian sebenar apabila pemain ke-48 dunia, Chan Sin Yuk dari Hong Kong menantinya di separuh akhir, esok.
Sin Yuk yang diletakkan sebagai pilihan ketiga meneruskan kemaraannya selepas menundukkan pemain remaja negara, K. Sehveetrra 11-8, 11-2, 11-2 dalam masa 19 minit.
Turut mengikut jejak langkah Aifa ke separuh akhir ialah adiknya, Aira yang mengetepikan Akanksha Salunkhe dari India 11-8, 11-8, 13-11 dalam masa 31 minit pada suku akhir.
Pilihan kedua itu akan menghitung pertemuan dengan rakan seperjuangan, Noor Ainaa Amani Ampandi yang mengalahkan Hana Ismail dari Mesir 11-6, 11-7, 8-11, 11-6 dalam masa 43 minit.
Sementara itu, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menjadi wakil tunggal Malaysia yang melangkah ke separuh akhir dalam saingan lelaki selepas menumpaskan pemain Mesir, Mohamed Nasser 8-11, 11-6, 11-6, 14-12 dalam 61 minit.
Menanti pilihan ketiga itu pada peringkat empat terbaik ialah pilihan pertama dari Hong Kong, Lau Tsz Kwan yang diberikan tentangan sengit sebelum menewaskan Noor Zaman dari Pakistan 7-11, 11-9, 11-6, 10-12, 11-7 dalam masa 58 minit.
Seorang lagi wakil Malaysia, Mohammad Syafiq Mohd Kamal terkandas di suku akhir selepas tumpas di tangan pilihan kedua dari India, V. Senthilkumar 7-11, 10-12, 4-11 dalam masa 35 minit.
Pada separuh akhir, Senthilkumar akan menentang rakan senegara, Abhay Singh selepas pilihan keempat itu memerlukan 35 minit sebelum menundukkan Tang Ming Hong dari Hong Kong 11-5, 11-3, 5-11, 8-11, 11-7. – UTUSAN