PETALING JAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim optimis kontinjen paralimpik negara mampu menyinar dengan memenuhi sasaran empat emas yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam Sukan Paralimpik 2024 yang bermula hari ini hingga 8 September ini.
Adam berkata berdasarkan persediaan rapi yang dilakukan barisan atlet para negara mampu menterjemahkan kilauan pingat demi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Untuk kontinjen Malaysia yang bakal beraksi di Paris untuk Paralimpik, seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan dan kita pasti berharap dapat meningkatkan lagi pencapaian dan pulang dengan kebanggaan, insya-Allah.
“Kita doakan kejayaan mereka dan yakin dengan keupayaan, kesediaan dan kesiapsiagaan mereka yang akan beraksi di Paris untuk Paralimpik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sepanjang penglibatan Malaysia di temasya tersebut, kontinjen negara berjaya membawa pulang enam pingat emas dengan tiga daripadanya diperoleh di Rio 2016 dan tiga lagi di Tokyo 2020.
Sasaran empat pingat emas diletakkan bagi melengkapkan keseluruhan 10 emas sepanjang kontinjen negara beraksi di temasya itu.
Antara prospek emas adalah jaguh lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), Datuk Abdul Latif Romly, atlet lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli, wakil powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan pemain badminton perseorangan SU5 (cacat fizikal), Cheah Liek Hou. – UTUSAN