KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengharungi cabaran lebih sengit di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan juara Liga 1 Korea, Ulsan HD FC antara lapan lawan yang dihadapi skuad Harimau Selatan.
Tentu sekali pertembungan menentang gergasi Korea Selatan yang pernah menjuarai ACL dua kali itu lebih menarik kerana ketika ini kelab itu dibimbing oleh bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Keputusan undian bagi ACLE bahagian Timur itu menyaksikan Pan Gon yang meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada 16 Julai lalu bakal ‘pulang’ ke Malaysia apabila skuadnya akan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
Selain Ulsan HD, JDT juga akan berdepan tiga lagi pasukan lain di gelanggang sendiri termasuk juara Liga Thailand, Buriram United FC, Pohang Steelers FC dan Shanghai Shenhua FC.
Sementara itu, empat aksi di gelanggang lawan yang bakal ditempuhi Harimau Selatan adalah menentang Shanghai Port FC, Central Coast Mariners FC, Shandong Taishan FC dan Gwangju FC.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards mengakui Harimau Selatan sudah tidak sabar untuk bersaing dalam ACLE yang kali pertama diperkenalkan tahun ini dengan menggunakan format berbeza.
Beliau turut menyifatkan aksi berdepan Ulsan HD kali ini sebagai pertembungan lebih menarik berbanding sebelum ini dengan ramai pemain pasukan kebangsaan dalam skuad JDT mengenali Pan Gon.
“Kami melihat cabaran baharu (kejohanan ACLE) dan dengan format baharu, ia amat mengujakan. Apa yang kami sudah lakukan, kami mahu mengenal pasti bahagian yang boleh ditingkatkan lagi.
“Sasaran kami tidak hanya sekadar menyertai kejohanan tetapi kami mahu mencabar untuk membuatkan rakyat Johor dan Malaysia bangga dengan persembahan JDT dalam kejohanan ini,” katanya kepada media selepas majlis undian di sini, hari ini.
Saingan ACLE menggunakan format berbeza apabila 12 kelab ini diletakkan dalam satu kumpulan dengan setiap kelab juga akan diundi bertemu lapan kelab berbeza.
Setiap kelab akan mengharungi empat perlawanan di gelanggang sendiri dan empat aksi di tempat lawan.
Lapan pasukan terbaik bagi liga bahagian Timur dan lapan bahagian Barat akan mara ke pusingan 16 terbaik ACLE.-UTUSAN