Aaron-Wooi Yik pertahan gangsa, hadiah pingat sulung di Paris

Aaron-Wooi Yik pertahan gangsa, hadiah pingat sulung di Paris

Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dalam aksi penentuan pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.-IHSAN MOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi mereka pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, selepas membenam Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dalam aksi penentuan kedudukan 3/4 pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, sebentar tadi.

Pasangan Malaysia itu melakar kemenangan dalam perlawanan yang cukup mendebarkan ke atas Astrup-Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 di Arena Porte De La Chapelle.

Kejayaan yang diukir Aaron-Wooi Yik yang kini merupakan beregu No. 3 dunia dalam ranking terbaharu dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), minggu ini, menyaksikan Kontinjen Malaysia meraih pingat pertama di Paris.

Sekalipun, gagal menjelmakan pingat emas yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia, Aaron-Wooi Yik sekurang-kurangnya tidak pulang ke tanah air dengan tangan kosong.

Kemenangan itu juga penting buat skuad badminton negara untuk mengelak daripada mengulangi aksi suram pada edisi 2004 di Athens, Greece apabila wakil negara pulang ke Malaysia tanpa sebarang pingat.

Esok, pingat gangsa kedua mungkin mampu dihadiahkan menerusi pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia yang akan turun beraksi bagi penentuan tempat ke-3/4.

Pada separuh akhir, petang tadi (waktu Malaysia), pemain No. 7 dunia itu tunduk kepada wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn 14-21, 15-21 pada separuh akhir.

Lawan menanti anak jati Alor Setar, Kedah itu bagi perebutan pingat gangsa adalah Lakshya Sen selepas pemain India itu tewas kepada Viktor Axelsen dari Denmark 20-22, 14-21 dalam satu lagi separuh akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN