5 penyakit ancam kucing

5 penyakit ancam kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kucing merupakan haiwan peliharaan kegemaran ramai lebih-lebih lagi dengan aksi comel dan manjanya.

Namun, seperti manusia, haiwan ini juga boleh diserang penyakit yang mengancam nyawa.

Kali ini, ahli veterinar daripada Tona Veterinary Centre, Dr. Nur Fadhilah Abdul Shukor berkongsi lima penyakit yang berisiko menjangkiti si manja anda.

FELINE PANLEUKOPENIA (FPV)
Penyakit berjangkit yang disebabkan parvovirus ini mudah menjangkiti kucing khususnya golongan anak.

Antara gejalanya ialah muntah, cirit-birit dan sawan.

Bagi kucing berusia tiga hingga lima bulan yang tidak divaksinasi, gejalanya lebih teruk seperti muntah dan penurunan sel darah putih.

Dalam masa tiga hingga lima hari, haiwan itu cenderung mengalami dehidrasi kerana cirit-birit yang teruk.

Penyebaran FPV boleh berlaku melalui hubungan langsung dengan air kencing atau peralatan yang tercemar seperti bekas makanan dan minuman, tilam serta mainan.

Dalam kebanyakan kes, kucing perlu dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, antibiotik terbukti berkesan dalam merawat jangkitan usus sekunder yang disebabkan oleh virus itu.

Penggunaan antibiotik dapat mencegah perkembangan virus dan setelah pulih si comel akan mengalami kekebalan terhadap virus FPV.

KUCING yang dijangkiti sporotricosisni mudah demam atau sakit teruk.

FELINE LEUKEMIA (FeLV)
Penyakit ini sering disalah anggap sebagai barah kerana mempengaruhi sumsum tulang.

Gejala penyakit ini dapat dilihat melalui penurunan berat badan, bulu rosak, cirit-birit kronik, kelenjar getah bening membesar dan sawan.

Ia sangat mudah menular melalui rembesan badan seperti air liur, air kencing dan tinja. Anak kucing yang dilahirkan oleh ibu dengan FeLV berisiko tinggi menghidapnya terutama semasa tempoh menyusu.

FeLV tidak boleh disembuhkan namun ubat-ubatan dapat membantu menguruskan gejala dan meningkatkan kualiti hidup kucing.

FELINE HERPESVIRUS (FHV)
Turut dikenali sebagai rhinotracheitis, virus ini menyerang pernafasan kucing.

Si manja akan menunjukkan gejala seperti bersin, hidung dan mata berair, demam, hilang selera makan serta lesu.

Malah, ulser pada mata dan pneumonia juga boleh berlaku sekiranya kes lebih teruk.

Rawatan untuk mencegah jangkitan sekunder termasuk antibiotik, ubat antivirus, rawatan simptomatik seperti pembersihan mata dan hidung, serta menyediakan persekitaran yang selesa dan bebas stres.

Vaksinasi juga antara cara yang paling berkesan untuk mencegah FHV dan diberikan kepada anak kucing dalam beberapa dos serta diulang setiap tahun atau setiap tiga tahun.

DERMATOPHYTOSIS
Dikenali sebagai kurap, penyakit ini melibatkan jangkitan kulat seperti microsporum canis, microsporum gypseum dan trichophyton mentagrophytes yang boleh menjejaskan kulit, bulu serta kuku kucing.

Kulat itu mampu bertahan di persekitaran selama beberapa bulan.

Penularan bukan sahaja boleh berlaku terhadap haiwan malah turut menjangkiti manusia melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang menghidapnya atau objek tercemar seperti tempat tidur dan sikat.

Gejala dermatophytosis termasuk lesi melingkar yang bersisik, keguguran bulu, kulit kemerahan dan meradang, gatal-gatal serta kuku rapuh. Lesi biasanya ada di bahagian kepala, telinga dan kaki kucing.

Untuk mencegahnya, jaga kebersihan persekitaran, elak hubungan dengan haiwan yang dijangkiti, pemeriksaan rutin oleh veterinar dan penggunaan syampu antikulat secara berkala.

GINJAL KRONIK
Dianggap sebagai masalah kesihatan serius yang sering berlaku pada kucing terutama yang sudah tua.

Penyakit ini menyebabkan fungsi ginjal merosot secara beransur-ansur, mengganggu proses penapisan toksin dan pengaturan cecair dalam badan haiwan.

Ia boleh dikesan melalui kekerapan kencing yang tinggi, hilang selera makan, penurunan berat badan, muntah, dehidrasi, mulut berbau busuk, lemah dan tidak aktif.

Rawatan diperlukan untuk mengurangkan gejala dan melambatkan kemerosotan fungsi ginjal melalui pemakanan khas, pengurusan cairan, ubat-ubatan dan sokongan nutrisi.

Secara keseluruhannya, pemilik kucing perlu peka terhadap gejala awal penyakit-penyakit ini dan mendapatkan rawatan veterinar dengan segera jika si manja menunjukkan tanda-tanda jangkitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya