‘SAYA tak akan diam penderitaan Gaza’.
Ucap Kamala Harris, baru-baru ini, semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House.
Guru saya pernah mengajar, jika mahu melihat seseorang itu berniat ikhlas atau sebaliknya, baca dan faham setiap pertuturannya patah demi patah.
Misalnya, kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) tentang Gaza. Apakah maksud ‘diam’ dalam konteks ini?
Bagaimana seorang isteri yang bersuamikan Yahudi berfahaman Zionis, Douglas Emhoff akan berbisik-bisik kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya hentikan perang?
Sedangkan, matlamat Yahudi yang berfahaman Zionis ingin menakluki keseluruhan Semenanjung Gaza, sehingga tersebar perancangan untuk membangunkan taman tema di Rafah.
Mereka jelas mahu mengusir kesemua penduduk Palestin sehingga keadaaan sekarang seperti dikepung di tengah dan selatan Gaza.
Silap hari bulan, Kamala lebih dahsyat dari Joe Biden. Bakal Presiden AS dan wanita pertama menggalas kerusi di White House.
Kelak, kuasa di tangannya, segala permintaan Netanyahu yang berhaluan kanan di Knesset diluluskan tanpa birokrasi.
Walaupun platform X dibanjiri tanda suka oleh rakyatnya, namun, ia bukanlah petanda positif Kamala akan memastikan hak asasi manusia di Semenanjung Gaza terjamin dan terbela.
Netanyahu mustahil akan menamatkan perang. Sikap egois dan tidak mahu dilihat kalah kepada pejuang Hamas begitu menebal dalam diri lelaki berhati binatang ini.
Sebab itu, setiap individu baik bayi, kanak-kanak, dewasa dan warga emas dilabelkan human animal yang bebas ditembak sesuka hati.
Dari Rafah, Deir al-Balah dan Khan Yunis, kita disajikan dengan serangan, letupan dan pengeboman maha dahsyat setiap detik, minit dan saat.
Selagi ada AS pemilik kuasa veto dan unipola di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), selagi itu Israel akan terus bernyawa.